"Selamat tinggal semua" - Ram


Ram Bahadur Gurung

Nepal, sebuah negara di Asia Selatan, diapit oleh India di timur, selatan dan barat manakala di utaranya pula merupakan kawasan autonomi Tibet, China.

Nepal juga terkenal kerana mempunyai kawasan pergunungan tertinggi dunia,  Gunung Everest.

Inilah negara di mana berasalnya sebahagian besar pengawal keselamatan di negara ini, bermula dari zaman British dahulu yang merekrut askar Gurkha atau Gorkha.

Pada Selasa, 21 Disember ini, pengawal keselamatan kita, Ram Bahadur Gurung, 40, akan berlepas pulang ke kampung halamannya di Nawalparasi, Nepal, kira-kira 3,400 kilometer dari Kuala Lumpur.

Ram, yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di Taman Changkat Desa/Melewar 2 selama lebih tiga tahun, akan pulang untuk menjalani rawatan bagi penyakit 'liver' atau hati di Nepal.

Beliau berada di Malaysia dan bekerja dalam bidang kawalan keselamatan untuk satu tempoh yang lama iaitu kira-kira 10 tahun.

Justeru keselesaan beliau berada di Malaysia dan mengenali rapat rakyat di negara ini, termasuk di taman ini, menyebabkannya berasa berat hati untuk meninggalkan Malaysia.

"Orang di negara ini  sememangnya baik dan bermurah hati," katanya.

Apabila cerita mengenai Ram dihebahkan menerusi grup whatsapp Sembang Jiran baru-baru ini, warga TCDM2 tampil menghulurkan sumbangan untuk beliau sebagai persediaannya untuk balik kampung dan sebagai sedikit bekalan bagi  membantunya membiayai kos perubatannya.

Datuk Gazali menyampaikan sumbangan warga TCDM2 kepada Ram

Malam tadi (Khamis 16 Disember), Persatuan Penduduk Taman Changkat Desa/Melewar 2 yang diwakili Pengerusi,  Datuk Gazali Harun dan beberapa ahli jawatankuasa telah menyerahkan sumbangan ikhlas daripada penduduk Taman Changkat Desa/Melewar 2 berjumlah RM3,150 kepada Ram.

Beliau amat terharu dengan sumbangan tersebut dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga TCDM2 yang telah sudi menghulurkan sumbangan itu serta kepada semua penduduk yang memberi kerjasama, teguran dan bantuan kepadanya sepanjang tempoh beliau menjalankan tugas di sini.

Ram yang masih belum berumahtangga akan dijaga oleh dua orang adik lelakinya apabila balik ke Nepal.

Nawalparasi kira-kira 157km dari Nepal

Kampung halamannya, Nawalparasi terletak kira-kira 157 km dari Katmandu, ibu negeri Nepal dan mempunyai antara kilang gula terbesar dunia iaitu Lumbini Sugar Industry yang disokong oleh China.

Kumar


Tempat Ram sebagai
pengawal di taman kita diganti oleh Kumar, juga dari Nepal, di samping Ragu yang sebelum ini menjadi rakan setugas Ram.







Popular posts from this blog

Buang sampah ikut kategori - Alam Flora

Terma Tabung Ihsan TCDM2