Changkat Desa-lah kampung kita raya ini
Eid Mubarak
Taqabalallahu Minna Waminkum
Ramadan 1442 baru sahaja melabuhkan tirainya. Alhamdulillah pada pagi ini Syawal menjelma lagi.
Setahun sudah berlalu sejak raya era Covid-19. Dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Taman Changkat Desa/Melewar2-lah kampung kita.
Tidak ada kesesakan di lebuh raya seperti lazimnya, tidak ada "feel" nak balik kampung dan kesibukan di RnR di mana mi maggie pun menjadi rebutan dan stesen minyak kehabisan petrol.
Lagu 'Balik Kampung' juga tidak lagi kedengaran.
Jemaah yang berbaris di luar Masjid Bilal bin Rabah diberikan nombor untuk bersolat Aidilfitri. Nombor 1 hingga 50 habis diagihkan sebelum jam 7.20 pagi lagi.
Namun ramai masih yang beratur di luar dan menaruh harapan pentadbir pihak masjid akan memberi kelonggaran namun hasrat meteka tidak kesampaian.
Laungan takbir imam hanya kedengaran di luar pekarangan masjid.
Raya ini raya PKP. Di luar kebiasaan kita, raya normal baharu (yang bukan lagi baharu).
Yang ada cuma kita, jiran kita, komuniti kita. Jiranlah saudara kita, jiranlah sebagai pengganti adik-beradik.
Namun begitu raya tetap meriah dan ceria di samping keluarga tercinta. Selepas menjamah ketupat dan rendang, tiba pula sesi bermaaf-maafan dan fotografi sebagai kenang-kenangan dan untuk dijadikan poster raya.
Di sebalik kekangan PKP tahun ini, harapan kita agar raya tahun hadapan akan kembali seperti dahulu.
Bersama-samalah kita berdoa.
Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Ceria selalu.