Mampukah DBKL tangani masalah penjaja di KL?


Musa Sabri (tengah berbaju putih) dan Datuk Irwan (kiri) ketika turun padang menemui peniaga di hadapan Taman Changkat Desa


Baru-baru ini tiga pegawai khas daripada pejabat Menteri Wilayah Persekutuan telah 'turun padang' untuk mendengar rungutan penduduk terhadap bunyi bising dan kesesakan jalan raya berikutan pembukaan beberapa gerai di depan kawasan taman perumahan di Taman Changkat Desa/Melewar 2.

Mereka terdiri daripada dua pegawai khas menteri, Encik Musa Sabri Sattar dan Encik Subash Chandrabose serta pegawai khas Setiausaha Politik menteri, Datuk Mohd Irwan Rizal bin Mohd Ali Napiah.

Turut serta wakil Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Wangsa Maju dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Selepas pertemuan itu, akhbar melaporkan bahawa isu itu akhirnya telah diselesaikan apabila penduduk membenarkan penjaja meneruskan perniagaan mereka di kawasan terbabit.

Sebelum ini, Gabungan Persatuan Penduduk 5 Taman membantah pembukaan gerai di hadapan taman perumahan mereka yang didakwa menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat apabila berlaku kesesakan kenderaan untuk keluar melalui Persiaran Geliga 1.

Taman berkenaan ialah Taman Melewar, Taman Koperasi Polis Fasa 1, Taman Changkat Desa/Melewar 2, Taman Rowther dan Taman  Karak Utama.

Gerai berkenaan dikatakan bagai cendawan tumbuh selepas hujan apabila KWP mengumumkan inisiatif program wilayah bebas berniaga selama lima bulan bermula 15 November lalu bagi memudahkan rakyat menambah pendapatan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Musa Sabri

Pegawai khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Musa Sabri Sattar berkata pihaknya hadir bagi mendengar keluhan kedua-dua pihak serta mengambil kira pandangan serta pendapat semua.

"Dalam soal ini, kita mahukan keadilan bagi kedua-dua pihak terutama membabitkan isu trafik dan kebersihan tapak. Ia perlu dirunding sebaiknya,” katanya.



Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk 5 Taman (GPP), Datuk Gazali Harun berkata mereka membuat aduan kepada pihak berkuasa sebelum ini kerana terdapat rungutan penduduk berhubung lokasi gerai di kawasan terbabit menghalang pandangan lalu lintas.

“Ada gerai yang dibuka betul-betul di selekoh keluar masuk taman perumahan dan ia membuatkan penduduk setempat berasa tidak senang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, menerusi perbincangan itu, penjaja bersetuju untuk mengubah kedudukan gerai ke lokasi lebih strategik dan pada masa sama mematuhi aspek kebersihan.

“Difahamkan juga, gerai ini hanya menjalankan perniagaan dalam tempoh sementara sahaja sebelum tapak kekal diperolehi selain urusan mendapatkan lesen berniaga selesai,” katanya.

Datuk Gazali Harun

Selepas pertemuan itu, wakil menteri dan penduduk mengadakan lawatan untuk menemui penjaja terlibat.

Antara lain, persatuan penduduk meminta agar penjaja berkenaan mematuhi beberapa peraturan standard operasi (SOP) dan tidak meninggalkan sampah di tempat perniagaan, tidak meninggalkan barangan perniagaan dan tidak membuang sisa masakan seperti minyak ke dalam longkang.

Selain itu, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wangsa Maju juga akan memantau penjaja itu untuk memastikan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Penjaja di Pesiaran Geliga 1 juga tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di sebelah kanan jalan bagi mengelakkan jalan itu menghalang kenderaan dari TCDM2 keluar ke Jalan Amzil.

Soalnya mampukah DBKL dan MPP melakukan kawalan ke atas gerai yang tumbuh bagaikan cendawan itu termasuk mengawal perniagaan yang dijalankan oleh warga asing?

Apa akan terjadi selepas tamat tempoh lima bulan dasar bebas niaga itu yang diumumkan sebelum ini?




Popular posts from this blog

Buang sampah ikut kategori - Alam Flora

"Selamat tinggal semua" - Ram

Terma Tabung Ihsan TCDM2