Sampai bila akan wujud masalah sampah di KL?



Masalah pembuangan sampah di negara ini seolah-olah tidak terkawal terutama di kawasan perumahan kerana sikap warga kota yang membuang sesuka hati di merata tempat.

Pembangunan bandar raya besar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Johor bahru, Ipoh dan Pulau Pinang tidak mempunyai erti sekiranya penduduknya tidak mengamalkan kebersihan

Amalan mengutamakan kebersihan adalah cerminan ketamadunan rakyat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seharusnya memikul tanggungjawab ini dengan melaksanakan program yang melibatkan rakyat.
Warga kota menaruh harapan yang tinggi pada Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, Tan Sri Annuar Musa supaya memberi perhatian kepada isu pembuangan sampah ini dan mengadakan kempen kebersihan secara besar-besaran. 
Kempen itu bukan sahaja melibatkan amalan pembuangan sampah yang teratur tetapi juga meliputi pembersihan di dalam penyediaan makanan dan kebersihan di gerai dan restoran, yang bebas daripada tikus dan ancaman penyakit yang lain.
Pekerja Alam Flora dan DBKL melakukan kerja pembersihan pada Program Sesi Turun Padang Hentikan Sampah Terbang di lorong belakang Jalan Selimang Taman Tenaga Cheras. รข€” Foto Bernama
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin pernah dipetik sebagai berkata kira-kira 60 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia gagal untuk membuang sampah ke dalam tong sampah walaupun ia disediakan di kebanyakan tempat. 
Beliau mahukan rakyat Malaysia menjana tabiat pembuangan sampah yang teratur dan perkara ini bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersih. 
Menteri berkenaan menambah bahawa di negara maju, rakyatnya menyimpan sampah di dalam kocek atau beg tangan dan membawanya balik untuk dibuang ke dalam tong di rumah masing-masing.
Keadaan itu dilihat diamalkan terutama di Jepun apabila stesen trennya tidak langsung mempunyai tong sampah kerana penumpang kereta api membawa balik apa juga sampah yang ada di tangan mereka bagi membolehkannya dibuang dengan secara teratur di rumah.
Di negara kita, tong yang disediakan kelihatan melimpah dengan sampah-sarap yang banyak dan berbau busuk. Ramai juga penghuni bandar yang lebih suka membuang sampah di tempat lain atau di kawasan di mana sampah dilonggokkan, dan bukan di rumah sendiri.
PBT seharusnya mengadakan lebih banyak kempen publisiti bagi menimbulkan kesedaran orang awam terhadap amalan pembersihan dan pembuangan sampah yang lebih teratur dan efisien.
Persatuan penduduk juga boleh membantu menerapkan budaya pembuangan sampah dengan betul ini dalam kalangan penduduk di kawasan masing-masing.
Penguatkuasaan lebih tegas perlu dilaksanakan dan mana-mana pihak yang didapati membuang sampah di tempat awam hendaklah dikenakan denda yang setimpalnya, seperti yang dilakukan di negara jiran.

Popular posts from this blog

Buang sampah ikut kategori - Alam Flora

"Selamat tinggal semua" - Ram

Terma Tabung Ihsan TCDM2